| |
2,000 lihat Transit Zuhrah
KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 pengunjung menyaksikan
pencerapan planet Zuhrah melintasi matahari di perkarangan Planetarium
Negara di sini, semalam.
Fenomena astronomi yang kali terakhir berlaku pada 1882,
lebih satu abad lalu dikenali sebagai Transit Zuhrah yang hanya akan berlaku
lagi pada 6 Jun 2012.
Pencerapan Transit Zuhrah dapat dilihat dengan jelas dari semua tempat di
Malaysia bermula jam 1.13 petang dan berada pada fasa maksimum pada jam 4.19
petang dan berakhir pada jam 7.25 petang.
Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohd Fairos Asillam, berkata
ia adalah fenomena ganjil dan jarang berlaku.
“Sepatutnya kita dapat melihat transit ini pada setiap kali Zuhrah
melengkapi satu pusingan orbit mengelilingi matahari tetapi ini tidak
berlaku kerana satah orbit Zuhrah dan bumi tidak sama.
“Disebabkan perkara itu, planet Zuhrah akan melintasi sama ada atas atau
bawah cakera matahari dan kita tidak dapat melihat Transit Zuhrah berlaku,”
katanya.
Beliau juga berkata, fenomena itu sama seperti gerhana matahari tetapi kali
ini bukan bulan yang menutupi matahari tetapi planet Zuhrah.
“Ketika berlaku transit, kita dapat melihat cakera Zuhrah yang kecil
melintasi hadapan cakera matahari yang lebih besar. Zuhrah kelihatan sangat
kecil jika dilihat dari bumi.
“Ketika Zuhrah melintasi permukaan matahari, ia akan hanya kelihatan seperti
satu titik hitam jika dilihat secara terus menerusi matahari tanpa
menggunakan binokular atau teleskop,” katanya.
Mohd Fairos berkata, transit itu adalah fenomena yang dapat memberikan
pengetahuan kepada orang ramai mengenai fenomena astronomi yang tidak dapat
dilihat melalui mata kasar.
“Selain dengan mengadakan pencerapan transit Zuhrah ini, kami berharap dapat
memberi galakan dan pengenalan kepada orang ramai untuk meminati bidang
astronomi, katanya.
Transit Zuhrah adalah fenomena penting kerana ia memberi maklumat elemen
asas mengenai alam semesta, khususnya bagaimana mengukur jarak ke bintang
dan saiz alam semesta.
Pencerapan juga penting untuk mengukur jarak dari bumi ke matahari, jarak
yang menjadi kunci dan unit ukuran kepada semua jarak antara jasad samawi.
Petikan Berita Harian, 9 Jun 2004 |
|